Hujan renyai renyai kian usai. Kereta sukarelawan perlahan menyelusuri jalan masuk ke perkarangan rumah Sarimah. Kelihatan Aizil dan Aidan sedang bermain dengan kawan-kawan. Di saat kawan-kawan yang lain laju berbasikal, dua anak soleh ini hanya mampu mengejar dengan berlari
“Aidan, tengok ni ada orang bawa basikal!” Jerit salah seorang kawan Aidan
Laju Aidan berlari pulang. Kami tersenyum melihat muka teruja mereka yang disembunyikan disebalik senyuman kecil. Mungkin tak percaya ini basikal mereka, kerana kita tak pernah menyatakan nak beli basikal untuk mereka, apa lagi berjanji. Tidak mahu mereka kecewa jika tak mampu nak hadiahkan basikal buat mereka.
Kita minta Aizil bantu turunkan basikal. Walaupun masih terpinga-pinga, Aizil tetap membantu tanpa bertanya.
“Ni, ada orang hadiahkan basikal untuk Aizil, Aidan dan Aidil”
Terus berubah mereka bertiga. Senyuman lebar, menyambut basikal masing masing. Awalnya masih malu-malu, namun setelah kita yakinkan, mereka dengan gembira cuba basikal baru di kawasan rumah.
“Terima kasih Ma”, tutur Aizil malu malu. Kelihatan dari jauh Sarimah tersenyum terharu. Katanya anak-anak dah lama nak basikal, tapi belum ada rezeki. Tambahan pula kini mereka kehilangan tonggak utama dalam keluarga.
Hanya ini yang kita mampu nak bantu Sarimah sekeluarga. Semoga dengan adanya basikal ini, anak-anak akan terhibur dan dapat alihkan perhatian mereka dari bersedih dengan kehilangan ayah tercinta, walau sebentar.
Kini, Aizil dan Aidan tak perlu kejar kawan-kawan berbasikal lagi. Dah boleh turut berbasikal sama dengan kawan-kawan. Aizil cakap nak naik basikal untuk ke kelas mengaji Al-Quran. Alhamdulillah, semoga boleh dimanfaatkan sebaiknya.
Terima kasih kami ucapkan buat penyumbang yang telah infaqkan hadiah ini untuk anak-anak yatim Sarimah. Semoga ini membawa kebaikan buat kita semua. Sukarelawan dan YRS hanyalah ingin menumpang pahala dan berbuat kebaikan untuk saham akhirat. Semoga juga ini semua menjadi pahala jariah buat kita semua ya