Hubungi kami :  +6097868787 | info@yayasanrajashamri.org | Isnin – Jumaat / 9:00 AM – 19:00 PM

Isteri gigih bonceng suami sakit kanser kulit 50 km ke hospital

Tanah Merah: Kasih seorang isteri, seorang suri rumah sanggup menunggang motosikal sejauh 50 kilometer (km) membonceng suami yang menghidap kanser kulit ke Hospital Tanah Merah di sini, sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bagi mendapatkan rawatan.

Siti Aminah Biru, 38, gigih membonceng suami, Mohd Nazir Che Othman, 48, di bawah terik panas matahari atau hujan malah turut turut membawa anak bongsu mereka yang berusia tiga tahun.

Menurut Siti Aminah, memandangkan keadaan penyakit yang semakin teruk dengan rasa sakit pada setiap masa, Mohd Nazir juga tidak mampu untuk berdiri lama.

“Perjalanan dengan motosikal melalui laluan berbukit dan jalan tidak berturap menyebabkan kadang-kadang suami terpaksa turun dari motosikal yang usang dan berjalan.

“Saya beberapa kali terjatuh daripada motosikal kerana jalan yang agak sukar untuk dilalui selain licin terutama sewaktu hujan.

“Suami menghidap kanser kulit sejak dua tahun lalu, tetapi kebelakangan ini keadaannya semakin teruk dan hampir setiap masa berada dalam kesakitan kerana kulit mula bernanah di seluruh badan,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas dikunjungi wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, di Kampung Batang Bergedik, Gual Ipoh di sini, hari ini.

Tuan Zaimah turut menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan asas serta ubat-ubatan selain dalam usaha mengumpul dana bantuan melalui YRS untuk membantu keluarga berkenaan.

Siti Aminah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia tiga hingga 11 tahun, berkata keluarganya menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM800 sebulan, namun mengakui masih tidak mencukupi terutama selepas suaminya hilang punca pendapatan.

“Setiap bulan kami perlu menyediakan RM300 khusus untuk ubat-ubatan berbayar selain yang diterima daripada hospital kerajaan. Anak-anak pula masih bersekolah, jadi kos yang perlu ditanggung setiap hari agak tinggi.

“Ada masanya saya perlu mencatu makanan serta membeli ikan yang paling murah di pasar supaya keluarga dapat mengisi perut pada setiap hari. Selain itu, saya juga turut menjaga ibu yang mempunyai sakit mental.

“Saya reda dengan ujian ini dan berjanji akan menjaga suami dengan sebaiknya kerana banyak jasanya sebelum ini dalam menjaga saya dan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazir berkata, dia bersyukur kerana isteri sanggup menjaganya yang diuji dengan sakit berkenaan dan dalam masa yang sama berharap agar segera sembuh supaya boleh kembali memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Jelasnya, dia sendiri hilang keyakinan diri disebabkan risau masyarakat memandangnya jijik kerana hampir keseluruhan tubuhnya berkudis dan bernanah, namun berterima kasih kepada isteri yang kekal berada di sisi membantu dan merawatnya.

Sumber: Harian Metro